Tuesday, 19 March 2013

Kereta kebal berantai diguna buru pengganas Sulu


LAHAD DATU: Panglima 1 Divisyen Infantri, Datuk Mohd. Zaki Mokhtar berkata, kereta perisai berantai Adnan yang tiba di sini, hari ini mula memasuki kawasan operasi di Kampung Tanjung Batu semalam (Selasa) bagi membantu usaha mengesan saki baki pengganas Sulu di kawasan berkenaan.
 
Beliau berkata, dengan bantuan aset berkenaan pihaknya percaya operasi membersih dan menggeladah Kampung Tanjung Batu akan dapat diselesaikan semalam.
 
"Pagi ini gerakan menggeledah dan mencari diteruskan dengan bantuan kereta perisai yang telah pun sampai kelmarin dan dengan kemampuan yang ada kita akan dapat membersihkan kawasan Tanjung Batu ini,"katanya dalam sidang media di Felda Sahaba, di sini,semalam.
 
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
 
Menurut Zaki, penggunaan kereta perisai berkenaan amat signifikan kerana ia bukan sahaja mempunyai daya perlindungan dan persenjataan yang baik tetapi mampu bergerak di kawasan yang sukar.
 
"Kalau sebelum ini banyak terbatas kepada jalan dan kawasan tertentu tetapi dengan kereta perisai berantai ini kita mampu meredah kawasan luar daripada jalan-jalan biasa,"jelasnya.
 
Sementara itu, Menurut Datuk Hamza, pada masa ini kawasan Kampung Tanduo dan kampung Sungai Nyamuk telah berjaya dibersihkan dan pihak keselamatan hanya menumpukan operasi di kawasan Tanjung Batu.
 
"Dalam operasi di kawasan Kampung Tanjung Batu kelmarin (Isnin) empat pertempuran berlaku bermula pukul 8.05 pagi dan berakhir 5.30 petang yang mana kedua-dua pihak tidak mendapat kemalangan," katanya.
 
Dalam pada itu, belliau berkata berkata, pasukan keselamatan menahan tiga lagi suspek yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas Sulu dalam satu serbuan di Sandakan semalam.
 
Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas)2012 (SOSMA).
 
"Tangkapan terbaru ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan di bawah SOSMA meningkat kepada 107 orang manakala jumlah yang ditahan dalam lain-lain kesalahan ialah sebanyak 243 orang," katanya.
 
Tambahnya,  setakat ini sebanyak 62 musuh berjaya ditembak mati dan 28 mayat musuh berjaya dikeluarkan.
 
 KERETA KEBAL BERANTAI TIBA ...Kereta Perisai Berantai yang tiba di Cenderawasih Felda Sahabat, hari ini.