Sunday, 26 May 2013

Gedion juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2013

PEMENANG ... Gedion (tengah), Fransisca (kiri) dan Jacklyn bersama hadiah kemenangan masing-masing.

Teks dan Gambar Oleh MARRYAN RAZAN

Gedion Hilarius wakil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) muncul johan pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2013 di Dewan KDCA, Penampang, pada malam Sabtu (25 Mei, 2013).
Dengan kemenangan itu beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala dan sijil penyertaan.

Gedion membawakan lagu “Guminawo Zou Diau” dan lagu baru ciptaan Denis Primus bertajuk “Kanou Masi Id Katangaban”.

Tempat kedua dimenangi oleh Fransisca Juingki yang mewakili daerah Sandakan. Beliau menerima hadiah wang tunai RM4,000, piala dan sijil.

Fransisca yang membawakan lagu wajib “Adaa” dan lagu baru “Titungkap Piginawaan” hasil ciptaan Minami Sugali Anduini turut memenangi penyanyi popular dan menerima hadiah wang tunai RM300.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi wakil daerah Penampang, Jacklyn Liew Yun yang membawakan lagu “Iziau Noh Songuhun” dan lagu baru ciptaan Alice Marius “Oi Apa”. Dengan kemenangan itu beliau membawa hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Pertandingan Sugandoi Kaamatan yang diadakan setiap tahun sempena sambutan Pesta Kaamatan di negeri ini disertai 37 orang yang mewakili semua daerah di negeri ini.

Bagaimanapun hanya 10 peserta dipilih ke pertandingan akhir iaitu Vui Kuang Apau (Kuala Penyu), Chrispine Joseph (Putatan), Jacklyn Liew Yun Len (Penampang), Fred Joanne Asoon (Tanjung Aru), Gedion Hilarius (DBKK), Azlee Mualip (Kudat), Jasri Madin (Kota Belud), Jimmy P. Masamil (Menumbok), Alwie Jusli (Kota Marudu) dan Fransisca Juingki (Sandakan).

Lagu-lagu baru ciptaan ahli jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri yang dibawakan oleh para peserta ialah “Tomodon” hasil ciptaan Rollis Mitol, Nokotongkiad (Adolf Jamit), Oi Apa (Alice Marius), Ihumonku Kagarasonku (Diana Clevon Monjuil), Kanou Masi Id Katangaban (Denis Primus), Porotio Poh Daa (Betcy Micheal), Poihoo, Polotio Zou (Anna Stanislaus), Ganit Id Ginawoku (Cosmas Chin), Aiso Nodi (Petrus Martin) dan Titungkap Piginawaan hasil ciptaan Minami Sugali Anduini.

Pertandingan Sugandoi Kaamatan itu disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi mewakili Timbalan Ketua Menteri dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan bekas juara sugandoi kaamatan pada tahun-tahun sebelum ini.

Antara tujuan penganjuran pertandingan Sugandoi Kaamatan ialah untuk mencungkil bakat-bakat baru di kalangan belia tempatan di samping memartabatkan budaya dan lagu-lagu tempatan terutamanya Kadazandusun Murut.


Edna Unduk Ngadau Kaamatan Sapi Plantation Telupid

PEMENANG ... Edna (duduk) diapit pemenang lain selepas dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau pada Pesta Kaamatan peringkat Sapi Plantations Ke-23.
TELUPID: Cik Edna Sinimon dari Penampang dinobatkan sebagai pemenang Ratu Unduk Ngadau pada Pesta Kaamatan yang dirayakan di Sapi Plantations dekat sini, kelmarin.

Dengan kemenangan itu, Edna membolot hadiah wang tunai RM2,500 dan baucer kelengkapan pengantin bernilai RM2,000.

Kategori Ratu Cik Elegan disandang Cik Cheryl Joan Chan dari Kota Kinabalu dan bagi kategori jawapan yang terbaik dimenangi Cik Gurjitt Kaur Sandhu dari Ladang Sabah Beluran, manakala kategori Ratu Popular jatuh kepada Deonesia Bronio.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh pengerusi merangkap Ketua Pegawai Ekskutif Wilmar International Limited, Kuok Khoon Hong pada perayaan yang disambut untuk kali ke-23 tahun itu.

Hadir sama ialah Pengerusi merangkap Pengurus Besar PBB Oil Palms Bhd, Goh Ing Sing.

PPB Oil Palms menganjurkan acara tahunan ini sejak tahun 1990 dan satu-satunya syarikat perladangan yang menyambut perayaan kebudayaan Sabah pada setiap tahun.

 
SIMBOLIK ... Kuok (tengah) di samping Goh bersama-sama Pengurusan Wilmar's mengetam padi sebagai tanda sempurnanya sambutan Pesta Kaamatan Ke-23 yang dirayakan di Sapi Plantations pada kali ini .

SIMBOLIK ... Salah satu acara simbolik tanda sempurnanya perayaan yang dirai dengan menombak buah sawit.

ANGGUN ... Salah seorang peserta akhir dalam pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan. 


Friday, 24 May 2013

Perketat peraturan perkahwinan bawah umur

KOTA KINABALU:  Undang-undang Sivil dan Syariah negara perlu dikaji semula bagi memperketatkan peraturan berkaitan perkahwinan bawah umur, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

                Beliau berkata ini penting bagi menutup ruang untuk mereka yang cuba "mengambil kesempatan" peruntukan undang-undang sedia ada termasuk undang-undang syariah yang membolehkan perkahwinan bawah umur diiktiraf sebagai sah, asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu.

                “Kita akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang sivil dan syariah sama ada terdapat keperluan menggubal undang-undang baru atau menambahbaik undang-undang Sivil dan Syariah sedia ada.

                "Misalnya, mengikut peruntukan undang-undang sekarang (syariah), apabila seorang bapa (ibu bapa) dan Mahkamah Syariah membenarkan kanak-kanak itu (berkahwin) maka perkahwinan itu dibenarkan walaupun masih muda atau bawah umur," katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran di kediamannya di Likas, dekat sini pada Khamis (23 Mei, 2013).

                Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas satu kes di Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis berusia hampir 13 tahun, dan kemudiannya memaklumkan dia berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.

                “Apa pun oleh kerana kanak-kanak perempuan itu berumur di bawah 16 tahun, maka mengikut undang-undang negara kita ia dianggap rogol (mangsa bawah umur) walaupun mungkin ada elemen " dan dalam kes ini, kelihatan bahawa kes rogol ini berlaku sebelum berkahwin," katanya.

                Dalam hal ini, Azizah berkata sudah tiba masanya undang-undang berkaitan perkahwinan bahawa umur yang melibatkan kanak-kanak yang masih muda diperketatkan.

                “Ini kerana kita bukan lagi seperti zaman dahulu kala, sekarang ini kita mahu melihat anak-anak kita menjadi dewasa dan melalui kehidupan yang lebih baik sebelum mereka melalui alam perkahwinan.

                “Apatah lagi dalam kes ini, kanak-kanak ini baru berusia 13 tahun dan dalam usia ini dia sepatutnya masih di Tingkatan 1 atau alam persekolahan...bukannya terikat dengan perkahwinan dengan seorang lelaki yang sudah berumur dan mempunyai keluarga sendiri,” katanya.

                Azizah berkata kanak-kanak yang berada dalam situasi itu perlu dilindungi, dan "sememangnya negara ini mempunyai Akta Kanak-kanak yang boleh digunapakai bagi tujuan itu".

Beliau juga tidak menafikan bahawa perkahwinan bawah umur merupakan antara punca atau menyumbang kepada kewujudan ramai ibu tunggal golongan muda terutama di kawasan luar Bandar di Sabah.

                “Kebanyakan mereka ini berkahwin awal atau muda. Mereka tiada pekerjaan tetap, lalu mereka tidak dapat meneruskan kehidupan berumahtangga dan menjaga keluarga dengan baik menyebabkan lelaki itu kemudiannya ke bandar untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan isteri dan anak-anak di kampung.

                "Oleh kerana masih berjiwa muda remaja, maka lelaki itu lama-kelamaan lupa pada isteri dan anak-anak di kampung dan akhirnya berlaku penceraian," katanya.

                Sehubungan itu, Azizah berkata kes perkahwinan bawah umur perlu ditangani dengan baik bagi mengelak masalah peningkatan bilangan ibu tunggal muda, dan "apabila timbul masalah ibu tunggal di situlah timbul pelbagai masalah lain seperti ekonomi. Bagaimana untuk hidup untuk diri sendiri dan anak-anak?".

                Dalam hal ini, Azizah berkata kementeriannya di peringkat Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah akan terus bekerjasama bagi memperhebatkan program kesedaran kepada masyarakat seterusnya mengelak kejadian seumpama  itu berulang.

                "Kita juga akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini terutama program turun padang masuk ke kampung-kampung untuk menerangkan pelbagai isu berbangkit terutama perkahwinan yang membabitkan pasangan bawah umur," katanya.          
    
                "Sebenarnya masalah ini agak rumit kerana kita berhadapan dengan masalah adat. Bukan sahaja perundangan tetapi adat..kerana mungkin ada adat di kampong yang membolehkan perkahwinan muda.

                “Kita tidak mahu wujud keadaan di mana berlakunya pertembungan kepentingan antara kehendak kita untuk melindungi kanak-kanak dan undang-undang adat yang membolehkan perkahwinan muda dalam keadaan tertentu," katanya lagi.


KDCA-ISCEP adakan Konsrt Kaamatan 2013 esok

KOTA KINABALU:  Sempena dengan Sambutan Pesta Kaamatan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dengan kerjasama International Student Cultural Exchange Program (ISCEP) akan mengadakan Konsert Kaamatan KDCA-ISCEP 2013 malam Ahad (26 Mei, 2013).

Pengerusi Penganjur KDCA ISCEP Konsert Kaamatan 2013,  Flavia Ignatius berkata, konsert itu melibatkan peserta dari  16 buah sekolah yang akan membuat persembahan berupa tarian kebudayaan dan moden, nyanyian dan bermain alat muzik tradisi

“Kami mengalu-aluan kehadiran orang ramai untuk memberi sokongan kepada ISCEP melalui Konsert Kaamatan ini.

Konsert itu juga menggunakan tema Pesta Kaamatan yang bertajuk  "Kekalkan Muhibbah dan   persefahaman melalui Kaamatan".
Kata Flavia, kebudayaan dari pelbagai etnik Sabah akan dipersembahkan oleh para peserta, yang telah membuat persediaan awal menghadapi konsert tersebut sebagai usaha ISCEP dalam memertabatkan budaya di kalangan generasi muda.

Tiket RM5 dikenakan seorang sempena konsert tersebut yang akan diadakan di Dewan Utama KDCA, Penampang bermula pada jam 7 malam.

Konsert itu akan dirasmikan oleh Huguan Siou Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

 Pengarah Pelajaran Negeri, Jame Alip dan Pengarah Kebudayaan Kesenian Negara Kipli Gitam turut hadir  di konsert tersebut.

Menurut Flavia, kehadiran orang ramai untuk memberi sokongan usaha ISCEP sangatlah dihargai dan amat dialu-alukan.

Turut  diadakan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah  menarik berupa  Samsung Galaxi Tab, Samsung Ipad, Komputer Riba dan hamper.





GAMBAR-gambar ini adalah antara veriasi persembahan Konsert Kaamatan KDCA-ISCEP 2013 yang bakal diadakan esok.



Tuesday, 19 March 2013

Kereta kebal berantai diguna buru pengganas Sulu


LAHAD DATU: Panglima 1 Divisyen Infantri, Datuk Mohd. Zaki Mokhtar berkata, kereta perisai berantai Adnan yang tiba di sini, hari ini mula memasuki kawasan operasi di Kampung Tanjung Batu semalam (Selasa) bagi membantu usaha mengesan saki baki pengganas Sulu di kawasan berkenaan.
 
Beliau berkata, dengan bantuan aset berkenaan pihaknya percaya operasi membersih dan menggeladah Kampung Tanjung Batu akan dapat diselesaikan semalam.
 
"Pagi ini gerakan menggeledah dan mencari diteruskan dengan bantuan kereta perisai yang telah pun sampai kelmarin dan dengan kemampuan yang ada kita akan dapat membersihkan kawasan Tanjung Batu ini,"katanya dalam sidang media di Felda Sahaba, di sini,semalam.
 
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
 
Menurut Zaki, penggunaan kereta perisai berkenaan amat signifikan kerana ia bukan sahaja mempunyai daya perlindungan dan persenjataan yang baik tetapi mampu bergerak di kawasan yang sukar.
 
"Kalau sebelum ini banyak terbatas kepada jalan dan kawasan tertentu tetapi dengan kereta perisai berantai ini kita mampu meredah kawasan luar daripada jalan-jalan biasa,"jelasnya.
 
Sementara itu, Menurut Datuk Hamza, pada masa ini kawasan Kampung Tanduo dan kampung Sungai Nyamuk telah berjaya dibersihkan dan pihak keselamatan hanya menumpukan operasi di kawasan Tanjung Batu.
 
"Dalam operasi di kawasan Kampung Tanjung Batu kelmarin (Isnin) empat pertempuran berlaku bermula pukul 8.05 pagi dan berakhir 5.30 petang yang mana kedua-dua pihak tidak mendapat kemalangan," katanya.
 
Dalam pada itu, belliau berkata berkata, pasukan keselamatan menahan tiga lagi suspek yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas Sulu dalam satu serbuan di Sandakan semalam.
 
Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas)2012 (SOSMA).
 
"Tangkapan terbaru ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan di bawah SOSMA meningkat kepada 107 orang manakala jumlah yang ditahan dalam lain-lain kesalahan ialah sebanyak 243 orang," katanya.
 
Tambahnya,  setakat ini sebanyak 62 musuh berjaya ditembak mati dan 28 mayat musuh berjaya dikeluarkan.
 
 KERETA KEBAL BERANTAI TIBA ...Kereta Perisai Berantai yang tiba di Cenderawasih Felda Sahabat, hari ini.

 

Sunday, 1 July 2012

Frylennie Unduk Ngadau Himpunan Belia Kadamaian 2012


KOTA BELUD: Cik Frylennie Suadik, 18, dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau, Himpunan Belia Bersama Artis Tempatan, sempena Pesta Kaamatan Belia Dewan Undangan Negeri, Kadamaian 2012,  mengalahkan sepuluh peserta yang lain.
Frylennie  mewakili Kampung Piasau membawa pulang wang tunai RM300, hamper dan tropi. Tempat kedua Eva Evanna Vitalis, 18, dari Kampung Piasau, membawa pulang RM250, hamper dan tropi.
Manakala Suzzy Julten, 18, yang mewakili Kampung Rangalau, memenangi tempat ketiga, sementara Unduk Ngadau Paling Popular menerusi undian SMS dimenangi peserta dari Kampung Gour, Mezlorria Basir, 18, membawa pulang dua bungkusan hamper dan wang tunai.
Majlis itu berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Piasau, dekat sini, pada Jumaat (29 Jun, 2012) dirasmikan oleh Pembantu Meneri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim.
Seramai 700 orang belia berjaya dihimpunkan di majlis itu yang turut dihadiri oleh  Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, merangkap Wakil Rakyat Kadamaian, Datuk Herbert Timbon Lagadan.
Majlis itu turut diserikan persembahan beberapa artis tempatan antaranya Clarice John Matta, Caroline Yusof, Meeda Hamzani, Jenny Gaising, Benn Simon, Wilton Gudol, Wilson Lion dan S. Welly Kelo dan Juara Sugandoi Belia Kadamaian, Nora Edora Francis.

Frylennie (empat, kiri) Eva (tiga, kiri) Suzzey Juhen (tiga, kanan) diapit empat finalis yang lain. 


Deberan hati para Unduk Ngadau yang menunggu penggilan sebagai perserta finalis terakhir pada pertandingan itu.

Monday, 9 April 2012

Pujian melulu Pairin kepada Musa dan kerajaan UMNO mengganggu nurani Orang Asal Sabah

KOTA KINABALU : Saya amat terkejut membaca laporan akhbar hari ini menyatakan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memuji-muji dan mengangkat kempimpinan Ketua Menteri Musa Aman sebagai seseorang yang amat prihatin kepada rakyat Sabah.

Tidakkah Huguan Siou Kadazandusun itu sedar pujiannya adalah janggal sekali sebab di bawah pimpinan Musa dari UMNO lah, masyarakat Kadazandusun dan juga Orang Asal lain semakin terhimpit di bumi sendiri?

Bagaimanakah Pairin mengangkat Musa sedangkan ketika pemerintahannya rakyat Sabah terus merempat sebagai yang paling miskin di Malaysia? Ini laporan Bank Dunia yang menyatakan demikian !

Tidakkah Presiden PBS itu menyedari di bawah kerajaan ini, masyarakat Kadazandusun rata-rata merasa tertindas kerana merekalah sekarang golongan termiskin di Sabah ! Bilakah orang Kadazandusun banyak kehilangan hak mereka termasuk tanah-tanah adat (NCR)? Bukankah di bawah kerajaan yang dipimpin Musa ?

Tahukah Pairin dan PBS puluhan ribu belia Kadazandusun berada di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor mencari dan bekerja di pelbagai sektor kerana mereka tidak mendapat pekerjaan di Sabah? Ramai mereka ini layak menjadi anggota polis dan guru misalnya tetapi Pairin tidak tahu anak-anak muda dari Semenanjung pula diberi kerja ini di Sabah !

Bagaimana pula dengan pendatang haram? Bagaimana dengan IC palsu ? Pengundi palsu? Tidakkah terdetik di hati Pairin semua isu ini, sehingga memuji melangit Musa yang tidak nampak menyelesaikan isu-isu yang telah menghantui rakyat Sabah.

Cukup memalukan diri sendiri tetapi inilah hakikatnya bila pemimpin terhutang budi dan seolah-olah meletakkan kedudukan sendiri lebih daripada perasaan rakyat jelata sendiri.

Apa yang berlaku ini umpama mimpi yang kita tidak terbayangkan akan berlaku tetapi kini sudah berlaku. Pairin antara lain memuji Musa sebagai "tidak dapat dinafikan lagi beliau seorang ketua menteri yang amat prihatin (caring)..." pada pelancaran sebuah buku mengenai Musa oleh Yang di-Pertua Negeri hari ini.

Diedarkan melalui KG Publicist di 012-8856465