Monday, 9 April 2012

Pujian melulu Pairin kepada Musa dan kerajaan UMNO mengganggu nurani Orang Asal Sabah

KOTA KINABALU : Saya amat terkejut membaca laporan akhbar hari ini menyatakan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memuji-muji dan mengangkat kempimpinan Ketua Menteri Musa Aman sebagai seseorang yang amat prihatin kepada rakyat Sabah.

Tidakkah Huguan Siou Kadazandusun itu sedar pujiannya adalah janggal sekali sebab di bawah pimpinan Musa dari UMNO lah, masyarakat Kadazandusun dan juga Orang Asal lain semakin terhimpit di bumi sendiri?

Bagaimanakah Pairin mengangkat Musa sedangkan ketika pemerintahannya rakyat Sabah terus merempat sebagai yang paling miskin di Malaysia? Ini laporan Bank Dunia yang menyatakan demikian !

Tidakkah Presiden PBS itu menyedari di bawah kerajaan ini, masyarakat Kadazandusun rata-rata merasa tertindas kerana merekalah sekarang golongan termiskin di Sabah ! Bilakah orang Kadazandusun banyak kehilangan hak mereka termasuk tanah-tanah adat (NCR)? Bukankah di bawah kerajaan yang dipimpin Musa ?

Tahukah Pairin dan PBS puluhan ribu belia Kadazandusun berada di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor mencari dan bekerja di pelbagai sektor kerana mereka tidak mendapat pekerjaan di Sabah? Ramai mereka ini layak menjadi anggota polis dan guru misalnya tetapi Pairin tidak tahu anak-anak muda dari Semenanjung pula diberi kerja ini di Sabah !

Bagaimana pula dengan pendatang haram? Bagaimana dengan IC palsu ? Pengundi palsu? Tidakkah terdetik di hati Pairin semua isu ini, sehingga memuji melangit Musa yang tidak nampak menyelesaikan isu-isu yang telah menghantui rakyat Sabah.

Cukup memalukan diri sendiri tetapi inilah hakikatnya bila pemimpin terhutang budi dan seolah-olah meletakkan kedudukan sendiri lebih daripada perasaan rakyat jelata sendiri.

Apa yang berlaku ini umpama mimpi yang kita tidak terbayangkan akan berlaku tetapi kini sudah berlaku. Pairin antara lain memuji Musa sebagai "tidak dapat dinafikan lagi beliau seorang ketua menteri yang amat prihatin (caring)..." pada pelancaran sebuah buku mengenai Musa oleh Yang di-Pertua Negeri hari ini.

Diedarkan melalui KG Publicist di 012-8856465


No comments:

Post a Comment