Beliau
berkata ini penting bagi menutup ruang untuk mereka yang cuba "mengambil
kesempatan" peruntukan undang-undang sedia ada termasuk undang-undang syariah
yang membolehkan perkahwinan bawah umur diiktiraf sebagai sah, asalkan memenuhi
syarat-syarat tertentu.
“Kita
akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang
sivil dan syariah sama ada terdapat keperluan menggubal undang-undang baru atau
menambahbaik undang-undang Sivil dan Syariah sedia ada.
"Misalnya,
mengikut peruntukan undang-undang sekarang (syariah), apabila seorang bapa (ibu
bapa) dan Mahkamah Syariah membenarkan kanak-kanak itu (berkahwin) maka
perkahwinan itu dibenarkan walaupun masih muda atau bawah umur," katanya
kepada pemberita pada majlis kesyukuran di kediamannya di Likas, dekat sini
pada Khamis (23 Mei, 2013).
Azizah
berkata demikian ketika diminta mengulas satu kes di Mahkamah Sesyen di sini
baru-baru ini, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol
gadis berusia hampir 13 tahun, dan kemudiannya memaklumkan dia berkahwin dengan
gadis itu mengikut undang-undang Syariah.
“Apa
pun oleh kerana kanak-kanak perempuan itu berumur di bawah 16 tahun, maka
mengikut undang-undang negara kita ia dianggap rogol (mangsa bawah umur) walaupun
mungkin ada elemen " dan dalam kes ini, kelihatan bahawa kes rogol ini
berlaku sebelum berkahwin," katanya.
Dalam
hal ini, Azizah berkata sudah tiba masanya undang-undang berkaitan perkahwinan
bahawa umur yang melibatkan kanak-kanak yang masih muda diperketatkan.
“Ini
kerana kita bukan lagi seperti zaman dahulu kala, sekarang ini kita mahu
melihat anak-anak kita menjadi dewasa dan melalui kehidupan yang lebih baik
sebelum mereka melalui alam perkahwinan.
“Apatah
lagi dalam kes ini, kanak-kanak ini baru berusia 13 tahun dan dalam usia ini
dia sepatutnya masih di Tingkatan 1 atau alam persekolahan...bukannya terikat
dengan perkahwinan dengan seorang lelaki yang sudah berumur dan mempunyai
keluarga sendiri,” katanya.
Azizah
berkata kanak-kanak yang berada dalam situasi itu perlu dilindungi, dan
"sememangnya negara ini mempunyai Akta Kanak-kanak yang boleh digunapakai bagi
tujuan itu".
Beliau juga tidak menafikan bahawa perkahwinan bawah umur
merupakan antara punca atau menyumbang kepada kewujudan ramai ibu tunggal
golongan muda terutama di kawasan luar Bandar di Sabah.
“Kebanyakan
mereka ini berkahwin awal atau muda. Mereka tiada pekerjaan tetap, lalu mereka
tidak dapat meneruskan kehidupan berumahtangga dan menjaga keluarga dengan baik
menyebabkan lelaki itu kemudiannya ke bandar untuk mencari pekerjaan dan
meninggalkan isteri dan anak-anak di kampung.
"Oleh
kerana masih berjiwa muda remaja, maka lelaki itu lama-kelamaan lupa pada isteri
dan anak-anak di kampung dan akhirnya berlaku penceraian," katanya.
Sehubungan
itu, Azizah berkata kes perkahwinan bawah umur perlu ditangani dengan baik bagi
mengelak masalah peningkatan bilangan ibu tunggal muda, dan "apabila
timbul masalah ibu tunggal di situlah timbul pelbagai masalah lain seperti
ekonomi. Bagaimana untuk hidup untuk diri sendiri dan anak-anak?".
Dalam
hal ini, Azizah berkata kementeriannya di peringkat Persekutuan dan Kementerian
Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah akan terus bekerjasama bagi
memperhebatkan program kesedaran kepada masyarakat seterusnya mengelak kejadian
seumpama itu berulang.
"Kita
juga akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri
ini terutama program turun padang masuk ke kampung-kampung untuk menerangkan
pelbagai isu berbangkit terutama perkahwinan yang membabitkan pasangan bawah
umur," katanya.
"Sebenarnya
masalah ini agak rumit kerana kita berhadapan dengan masalah adat. Bukan sahaja
perundangan tetapi adat..kerana mungkin ada adat di kampong yang membolehkan
perkahwinan muda.
“Kita tidak mahu wujud keadaan di mana berlakunya
pertembungan kepentingan antara kehendak kita untuk melindungi kanak-kanak dan
undang-undang adat yang membolehkan perkahwinan muda dalam keadaan
tertentu," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment