Sunday, 4 March 2012

SULTAN BRUNEI RASMI FESTIVAL SANDAKAN KE-12

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah diiringi bersama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin (kiri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kanan) ketika menghadiri makan malam di Dewan Serbagunan Sri Libaran di Sandakansempena lawatan kerja baginda selama dua hari ke Sandakan.

SANDAKAN, 3 Mac: Festival Sandakan edisi ke-12 pada tahun ini
mencatatkan sejarah apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat
merasmikan acara itu di Padang Bandaran di sini, malam ini.
Penghormatan tersebut diberikan sempena lawatan kerja dua hari oleh baginda
ke daerah ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman ketika berucap pada majlis itu berkata
keberangkatan baginda ke majlis itu mencatatkan satu peristiwa yang
penuh bersejarah bagi masyarakat di daerah Sandakan.
Beliau berkata lawatan baginda ke negeri itu akan mengukuhkan lagi hubungan
dua hala yang sedia erat serta mengeratkan lagi silaturahim dan semangat
persaudaraan di antara rakyat kedua-dua negara.
Mengenai Festival Sandakan itu, Musa berkata ia mula diperkenalkan pada 2000
dan telah berjaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan
daerah Sandakan dan negeri Sabah.
Katanya dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang berunsurkan kebudayaan,
kesenian dan pelancongan, ternyata ia bukan sahaja penuh dengan tradisi
kemeriahan dan keunikan, tetapi juga mempunyai daya tarikannya tersendiri.
Beliau berkata di samping memaparkan sejarah, keunikan dan keindahan daerah
Sandakan, festival ini juga berjaya memperkukuhkan lagi kerjasama dan muafakat
dalam kalangan rakyat berbilang suku kaum, agama dan budaya.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin
dan Toh Puan Norlidah R.M. Jasni. 
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah mendengar penerangan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan (kanan) semasa melihat panorama di Canopy Walkway Reception Center di sini ketika melawat Pusat Penemuan Hutan Hujan sempena lawatan dua hari baginda ke Sandakan hari ini.
Turut mengiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kiri).



SELAMAT TIBA ... Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah diiringi Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin (empat, kiri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (tiga, kanan)
mengaminkan doa sebaik tiba di Lapangan Terbang Sandakan.

No comments:

Post a Comment